Pengaruh Teknologi Maklumat  

Posted by Quote de Unquote Group


Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran

Komputer boleh direkabentuk supaya ia dapat membantu pelajar secara individu dan secara berkumpulan. Ini dapat dijalankan dengan menggunakan Arahan Program, pelajar akan diajar mengikut kadar dan tahap yang boleh diterima oleh mereka. Ini adalah penting supaya pelajar tidak tercicir dan putus asa. Merujuk kepada sistem pendidikan konvensional, kesemua pelajar terpaksa mengikuti sistem yang berlangsung tanpa mengambil kira samada mereka dapat mengikuti pelajaran tersebut. Justeru itu, arahan program dapat memberi peluang terutamanya kepada golongan pelajar "lemah" untuk membaiki kelemahan dia.
Dalam arahan program ini, pelajar akan mengikuti langkah-langkah tertentu dalam pembelajaran dia, langkah tersebut akan diteruskan asalkan pelajar dapat memberi jawapan yang sesuai dan boleh diterima. Namun sekiranya jawapan tersebut tidak memuaskan, dia akan dipandu kepada langkah terdahulu dan ditunjukkan bahan rujukan yang berkaitan bagi memperbaiki kelemahan tersebut. Pengajaran sedemikian biasanya tidak dijalankan di dalam kelas yang terdiri daripada ramai pelajar, tambahan pula pelajar Asia yang kurang bertanya akan memburukkan lagi proses pembelajaran pelajar.

Selain itu, pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Tren semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat. Contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer.
Justeru itu, sistem pendidikan perlu membekalkan kemahiran interaksi asas pada awal persekolahan dan menggunakan teknologi maklumat pada masa yang sama. Dengan itu, pelajar mempunyai kemahiran lebihan dan pilihan untuk menggunakan teknologi maklumat atau cara konvensional sesuai dengan keadaan tertentu.

Pengangkutan Jalan


Bayangkan anda sedang duduk di dalam kenderaan yang berhalaju 120 batu sejam di atas lebuhraya yang padat. Anda menghadapi masalah jerebu namun pengendali kenderaan di lorong sebelah telah tertidur sedangkan anda sedang menonton televisyen. Pelik? Terkejut? Sebenarnya anda agak selamat, anda sedang memandu kenderaan bistari dalam Lebuh-Raya Bersistem Automasi(LBA) masa depan yang berupaya mengurangkan 1.2 juta pelanggaran setiap tahun, menyelamatkan beribu-ribu nyawa, serta menjimatkan berjuta-juta ringgit akibat kemalangan.
Namun isu timbul merujuk kepada penerimaan masyarakat terhadap sistem sebegini. Sediakah mereka melepaskan pemanduan kenderaan secara bebas dan serahkan tugas tersebut kepada komputer. Seperti yang diketahui umum, komputer kadangkala gagal, kegagalannya dalam sistem ini akan mencetuskan kemalangan yang boleh dimasukkan dalam rekod antarabangsa.
Walaubagaimanapun, bukan senang untuk mewujudkan lebuh-raya bersistem automasi tersebut, Amerika Syarikat telah memulakan penyelidikan dan pembangunan sejak 1991 dan ia masih dalam proses. Untuk menyokong lebuh-raya tersebut, pelbagai teknologi diperlukan untuk memandu kenderaan dan mengawal sistem lalulintas; Sistem Pengangkutan Pintar, sesetengah teknologi ini telah dipasarkan dewasa ini.
Selain itu, Kenderaan Pintar diperlukan untuk membantu pengendali dalam pengendalian kenderaan, persekitaran dan memberi amaran terhadap masalah kesesakan. Salah satu elemen kenderaan pintar adalah Anti Lock Braking System(ABS) yang menghalang tayar kenderaan mengunci dirinya dalam keadaan perhentian panik.
Di samping itu, salah satu elemen penting untuk mewujudkan LBA adalah Sistem Kedudukan Global. Dengan wujudnya sistem ini, peta tidak lagi diperlukan, sistem ini akan menentukan jalan yang paling pendek serta cepat dan memandu kenderaan anda ke destinasi yang telah ditentukan anda. Dewasa ini, Sistem Pemanduan Kenderaan telah mula dipasarkan di Amerika Syarikat.
Untuk melengkapkan lagi LBA, Sistem Pengurusan Kesesakan diperlukan untuk mengenalpasti kesesakan. Antara tahun 1985 dan 1994, bandar Lexington, Kentucky telah menggunakan sistem lalulintas berkomputer untuk mengurangkan lalulintas henti-jalan sebanyak 40% serta mengurangkan pelanggaran sebanyak 30%(Meyer, 1999).
Namun LBA dikritik akan memburukkan lagi masalah kesesakan dalam jangka panjang. LBA direkabentuk untuk mengurangkan kesesakan dengan cara mengerakkan kenderaan secara lebih padat. Dengan itu, ia seakan-akan menambahkan lorong dalam lebuh-raya. Namun penambahan ini hanya boleh menyelesaikan masalah kesesakan dalam jangka pendek. Secara logiknya, apabila lorong menjadi banyak, ia akan menggalakkan lebih banyak penggunaan kenderaan. Sekiranya LBA membawa kepada pengembagan keupayaan menampung kenderaan yang tinggi maka kita akan kembali kepada masalah asal kesesakan.

Dunia Maya
Ia adalah satu sistem yang mensimulasikan alam nyata(reality). Alam nyata ditayangkan dalam bentuk imej, dalam dunia yang kelihatan seperti dunia nyata. Pengalaman dalam dunia maya bukan hanya menerusi skrin imej tetapi ia sendiri menjadi pengalaman kepada mereka yang berada di dalamnya(Castells, 1999). Kewujudan dunia maya akan membawa perubahan tertentu dalam cara hidup di bandar. Memandangkan ia begitu benar dan kadangkala dapat memuatkan ciri-ciri idealisme yang tidak terdapat dalam dunit nyata. ia merupakan satu ruang yang membolehkan penduduk membuat pilihan samada hendak memilih dunia maya atau dunia nyata untuk menjalankan aktiviti tertentu.
Contohnya seseorang yang ingin keluar bersiar-siar di bandar boleh memilih bandar nyata atau bandar maya. Bagi mereka yang ingin melihat bandar sebagai utopia maka dunia maya mampu memberi satu bandar sedemikian. Namun penggunaan dunia maya bukan hanya terhad kepada hiburan sahaja. Ia menjadi medan ujian bagi percubaan pengalaman yang seakan-akan benar. Misalnya ujian memandu kenderaan boleh dijalankan di dalam sebuah bilik tanpa menggunakan jalanraya sebenar. Dari segi perancangan pula, model-model boleh dihasilkan untuk menguji kesan perancangan terhadap sesebuah bandar. Seseorang boleh mencuba pengalaman di dalam bandar tersebut sebelum pelan susun atur diluluskan. Ini akan menambahkan lagi penilaian pelan tersebut.


Kesan Teknologi Maklumat Terhadap Pekerjaan : Kepada Masyarakat Tanpa Kerja?
Penggunaan teknologi maklumat dalam kilang, pejabat dan sektor perkhidmatan telah mencetuskan kebimbangan pekerja bahawa mereka akan digantikan oleh peralatan. Namun berdasarkan pencapaian negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun, kebimbangan tersebut nampaknya tidak berasas. Merujuk kepada "1994 White Paper of the European Commision on Growth, Competitiveness, and Empoyment " antara 1970 dan 1992, ekonomi Amerika Syarikat bertumbuh 70% sementara pekerjaan bertumbuh 49%. Ekonomi Jepun bertumbuh sebanyak 173%, dengan pertumbuhan pekerjaan 25%. Di samping itu, antara 1993 dan 1996, apabila kebanyakan negara Eropah mempunyai kadar pengangguran yang tinggi, Amerika Syarikat yang menggunakan teknologi maklumat dalam pejabat dan kilang, telah menghasilkan lebih lapan juta pekerjaan baru(Castells, 1996).
Ahli teori perdagangan(Trade theorists) berhujah bahawa potensi pengurangan pekerjaan sebagai kesan penggunaan teknologi maklumat akan wujud sekiranya ;

Pengembangan dalam permintaan tidak diseimbangi peningkatan dalam produktiviti buruh; dan

Tiada tindakbalas institusi untuk mengurangkan masa pekerjaan dan bukannya pekerjaan sendiri.
Menurut Castells, tiada struktur hubungan yang sistematik di antara penggunaan teknologi maklumat dengan evolusi pekerjaan dalam ekonomi secara keseluruhannya. Sesetengah pekerjaan semakin tidak penting tetapi terdapatnya pekerjaan baru yang kian meningkat. Namun kuantiti hubungan di antara kerugian dan keuntungan tersebut berbeza di antara firma, industri, sektor, wilayah dan negara. Ia bergantung kepada keupayaan saing, strategi firma, dasar kerajaan, persekitaran institusi dan kedudukan relatif dalam ekonomi global.
Menurut Organization for Economic Cooperation and Development(OECD), pada awal abad ke-21, dijangkakan akan terdapat peningkatan pekerjaan bagi negara-negara tersebut : Amerika Syarikat, 1992-2005, akan mengalami peningkatan pekerjaan bersih 24 juta(peningkatan 19% sepanjang tempoh), Jepun, 4 juta(peningkatan 6%); dan Kesatuan Eropah lebih kurang 10 juta(peningkatan 6-7%). Namun unjuran ini adalah amat sensitif kepada kepelbagaian dalam andaian yang digunakan. Pertama sekali, evolusi tahap pekerjaan tidak diberi. Ia amat bergantung kepada tahap penggunaan teknologi tersebut oleh masyarakat, atas dasar penghijrahan, evolusi keluarga, pengagihan tempoh pekerjaan dalam hidup dan sistem baru dalam perhubungan industri.
Justeru itu, teknologi maklumat tidak akan menyebabkan pengangguran walapun ia secara nyatanya mengurangkan tempoh kerja per unit pengeluaran. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa ia akan membawa kepada pengasingan jenis pekerjaan yang lebih nyata terutamanya pekerjaan yang bersabit dengan maklumat dan pekerjaan yang tidak.

Cetak Rompak
Dengan kebebasan aliran maklumat dalam rangkaian maklumat, aktiviti cetak rompak atau salin tanpa kebenaran akan berleluasa. Contohnya yang nyata adalah pelajar universiti atau kolej yang mempunyai akses kepada internet.
Bayangkan satu senario yang melibatkan seorang pelajar yang terpaksa menghantar tugasan pada keesokan harinya. Pada pukul 4.00 pagi, pelajar tersebut mendapati dia tidak sempat menghabiskan tugasan tersebut. Namun begitu, secara kebetulan pelajar tersebut terjumpa satu esei yang sesuai dengan tema tugasannya melalui internet, tiada cetakan hakcipta dalam esei tersebut. Nampaknya pengarang sengaja menggalakkan percetakan. Ini akan mendorong pelajar tersebut menyimpan esei tersebut dan kemudian membuat pengubahsuaian tertentu untuk mengubah wajahnya, kemudian dia menghantar tugasan tersebut dan menganggap itu adalah hasilnya(Meyer, 1999).

Kesimpulannya,sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat, asas teoritikal tentangnya harus diperkembangkan. Bidang-bidang "teknologi maklumat" dan "sains komputer" dalam universiti dan politeknik nampaknya lebih kepada kaedah teknikal di sebalik proses intelektual(Laver, 1989). Kita masih agak kabur tentang konsep "maklumat". Kekurangan asas teoritikal yang kukuh akan menyukarkan lagi penjelasan fenomena berhubung dengan teknologi maklumat.
Tiga kuasa telah mempengaruhi pembangunan teknologi maklumat. Pertama sekali, keghairahan pakar yang menciptanya, diikuti harapan untuk faedah masa depan dan akhirnya kebimbangan terhadap peperangan. Tiada satu pun daripada ini nampaknya menyokong kajian ke atas kesan sosial yang dibawa oleh teknologi maklumat. Daripada perbincangan di atas, jelaslah bahawa teknologi maklumat boleh digunakan untuk tujuan baik atau jahat. Kuasanya adalah amat kuat dan kuasa ini boleh digunakan dengan cara yang tidak sesuai untuk kepentingan peribadi yang boleh menjejaskan kepentingan pihak lain.
Justeru itu, dalam keasyikan Malaysia melancarkan era teknologi maklumat, rakyatnya harus diberi pendedahan tentang kesan baik dan buruk yang akan dibawa oleh teknologi maklumat. Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia memerlukan teknologi ini untuk bersaing dan berganjak kepada corak ekonomi baru namun masyarakat haruslah bersedia terutamanya secara mental untuk menerima kos dan faedah yang akan dijanakan.


Rujukan :

1. Arun Arun, Smart Cities : The Singapore Case, Cities, Vol. 16, No. 1, pp. 13-18, 1999, Pergamon.
2. Castells, Manuel, The Informational City : Information Technology, Economic Restructuring, and the Urban-Regional Process. Basil Blackwell, 1989.
3. Castells, Manuel, The Rise of the Network Society. Blackwell Publishers Ltd., 1996.
4. Erwitt, Smolan, One Digital Day : How the Microchip is Changing Our World. Times Books, New York, 1998.

Disediakan oleh : Siti Khadijah Bt Ahmad



This entry was posted on Sunday, 4 December 2011 at 08:21 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment