TEKNOLOGI MEDIA BARU  

Posted by Quote de Unquote Group

 Masyarakat dunia dewasa ini berdepan dengan pelbagai kemunculan saluran komunikasi baru yang mengagumkan. Alat-alat perantaraan mahupun gadget-gadget yang berasaskan internet seperti jaringan sosial, blog, dan talian video, memberi ruang serta peluang kepada pengguna awam khasnya untuk menyuarakan pemikiran, pandangan serta kritikan. Kini, dengan kewujudan media baru, saluran media tradisional tidak lagi menjadi saluran utama dalam menyebarkan sumber maklumat.



Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (2007), teknologi itu dilihat berasaskan kajian saintifik yang termaju dengan menggunakan peralatan elektronik yang canggih. Manakala Wanda (2001) telah mengkategorikan konsep teknologi baru sebagai alat produktiviti untuk menggantikan dan meningkatkan keupayaan tenaga kerja manusia, memperluas pengetahuan individu dan institusi sosial dalam menjalani aktiviti sosial ekonomi serta alat pemprosesan untuk meningkatkan sumber informasi.
Secara ringkasnya, teknologi merupakan satu kaedah untuk menangani masalah teknikal dan maklumat teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi.
Revolusi Perindustrian secara totalnya telah mengubah kemajuan manusia dalam bidang teknologi dan komunikasi pada hari ini. Ia bukan sahaja merombak tatacara perniagaan, malah mengubah keseluruhan konsep syarikat, organisasi, negara dan gaya hidup seharian sebagai contoh terdapat banyak aktiviti penggabungan mega melibatkan syarikat-syarikat gergasi yang menguasai pasaran dunia termasuklah industri kereta, tembakau, makanan, penerbangan, perubatan dan perbankan (Janal, 2000). Selain itu, antara perubahan persekitaran yang ketara kita dapat lihat ialah sempadan antara negara, industri dan produk yang semakin hari semakin kabur. Kuasa yang ada pada kerajaan semakin merosot kerana aliran maklumat dan kandungan tidak mudah ditapis oleh kerajaan (Renton, 1997). Sememangnya perkara ini berlaku di Malaysia sebagaimana kita semua tahu di mana laman web, laman sosial dan blog digunakan serta dijadikan sebagai antara medium utama untuk meyebarkan berita maklumat, meraih undi, mencerna pendapat menzahirkan ideologi, dan meluahkan ketidakpuasan hati.



Internet ialah rangkaian komputer antarabangsa yang merupakan salah satu alat komunikasi yang kian mendapat perhatian. Pada asasnya, internet tidak dimiliki oleh sesiapa dan tidak dikawal oleh mana-mana pusat kawalan. Segala isi kandungan yang terdapat di dalam web itu digunakan sebagai bahan untuk sumber pengetahuan, pendidikan dan juga hiburan. Pada masa ini, dilaporkan bahawa terdapat kira-kira 25 juta orang yang mengaplikasikan internet di serata dunia dan angka ini dijangka bertambah pada kadar 15 peratus sebulan. (Abdullah, 2004)
Penggunaan internet telah mencetuskan perpindahan teknologi tradisional kepada era digital yang menakjubkan. Dengan hanya menggunakan hujung jari dan menekan kata kunci pada papan kekunci, pengguna internet dapat menjenggah serta memperoleh 1001 maklumat terkini dalam apa jua aspek. Di perkampungan global inilah manusia bertukar-tukar informasi dan perkhidamatan tanpa mengira perbezaan warna kulit, bangsa mahupun ideologi. Secara ringkasnya menurut Holtz (1996), kecanggihan teknologi ini dapat mempermudah komunikasi dua hala sesama manusia dan negara.


                       


Namun begitu, kewujudan teknologi baru dianggap sebagai satu paradoks, kerana ia bukan sahaja memberi manfaat tetapi boleh membinasakan manusia. Timbul satu persoalan disini dimana adakah internet merupakan tempat penjanaan kebencian dan jenayah? Dengan wujudnya rangkaian World Wide Web (www), individu dan organisasi boleh memaparkan sebarang maklumat dengan  mudah dan sekiranya ia digunakan untuk tujuan yang tidaak baik maka sudah pasti ia akan membawa pengaruh yang negatif terhadap kehidupan sesebuah masyarakat itu. Contohnya, pengeboman di bandar Oklahoma dipercayai hasil sebaran maklumat melalui internet. (Meyer, 1999).
Merujuk kepada konteks di Malaysia khasnya, terdapat banyak maklumat berasaskan kebencian berterbangan dalam rangkaian Internet. Kesemuanya ditujukan kepada sesetengah pemimpin negara. Gejala sedemikian berupaya menjanakan kebencian dan kekeliruan di kalangan pengguna internet yang mempercayai terus maklumat yang diperolehi. Ini boleh mencetuskan kekacauan di dalam bandar dan mengancam keselamatan serta ketenteraman bandar. Rusuhan-rusuhan telah berlaku beberapa bulan lalu di sekitar Kuala Lumpur dan ini berpotensi dicetuskan selagi masyarakat tidak mempunyai pemikiran kritikal untuk menilai kesahihan maklumat tersebut.




Selain itu, Internet juga membawa maklumat-maklumat lucah yang boleh menjanakan masalah sosial terutamanya jenayah. Rangkaian internet boleh juga menjadi saluran tidak sihat untuk melakukan jenayah. Merujuk kepada pengalaman Singapura, tahun ini, lima gadis dan seorang wanita telah dirogol oleh “kawan” yang mereka kenali melalui internet atau telefon. (Star, 1999). Singapura merupakan satu negara pengguna Internet yang tinggi disebabkan dasar kerajaannya untuk menggalakkan kecelikan computer bagi menghadapi kemajuan abad ke-21.
Sebagai kesimpulannya, kemajuan teknolgi ini haruslah digunakan dengan berhemat dan bijaksana agar terbentuk tamadun manusia yang tinggi akhlak, sahsiah dan keintelektualannya. Bukan itu sahaja, dalam konteks di Malaysia pula, rakyat harus diberi pendedahan tentang kesan baik dan buruk yang akan dibawa oleh teknologi media baru terutamanya internet kerana hal ini sejajar dengan keinginan serta keghairahan Malaysia untuk melancarkan era teknologi maklumat.

Bibliografi

  1. Meyer, Marilyn Wertheimer, Computers In Your Future. Macmillan Computer Publishing, 1999
  2. IT Age a time of radical change as weel as hallenge. Star, Thursday, 1.7.1999
  3. Abdullah Ahmad Badawi, Malaysia foreign policy in the era of globalization. The Conference of Malaysian Heads of Mission, 2004
  4. S. Holtz, Communication and Technology : The Complete Guide to Using Technology for Organizational Communication. Chicago : Lawrence Regan Communications, 1996
  5. Janal, D.S., Dan Janal's Guide to Marketing on the Internet : Getting People to Visit, Buy and Become Customers for Life. New York : John Wiley & Sons, 2000
  6. N. Renton, Public Relations, Newsletter and Internet Usage for Organisations. Australia : Kangaroo Press pty Ltd, 1997
  7. J. Wanda, Research Commentary : Desperately Seeking the "IT" in IT Research A Call to Theorizing the IT Artifact. Information Systems Research, Vol 12, No.2, June 2001.


Dibuat oleh :
Nur Nabillah Syaza bt. Mohamed Hatta (107920)





This entry was posted on Monday 31 October 2011 at 12:21 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment